Majlis penghargaan jayakan Persidangan RIMeC’26




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi





GADONG, Rabu, 3 Jun. - Dalam menghargai sumbangan, komitmen dan penyertaan para peserta, pembentang, rakan strategik serta pihak yang terlibat dalam menjayakan Persidangan Media Islam Serantau 2026 (RIMeC'26), Majlis Apresiasi RIMeC'26 telah diadakan di Rizqun International Hotel, malam tadi.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.


Turut hadir, Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yang Berbahagia Profesor Madya Dato' Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil dan Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.


Pada majlis itu, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Profesor Dato' Dr. Mohd. Fakhrudin bin Abdul Mukti yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan penganjuran RIMeC'26 sebagai platform ilmiah yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pengamal media dan institusi berkaitan dari dalam dan luar negara.


Beliau juga menekankan bahawa media Islam perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), penyiaran digital, komunikasi 'virtual' dan 'journalism' pintar, namun tetap berpegang kepada prinsip syariah, integriti ilmu dan adab.


Dunia digital katanya, dilihat membuka peluang besar untuk memperkasa dakwah, tetapi pada masa yang sama menuntut literasi media dalam menghadapi manipulasi maklumat, budaya sensasi dan kandungan tidak beretika.


Majlis tersebut turut menyaksikan Acara Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNISSA dan IKIM. Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA manakala bagi pihak IKIM ditandatangani oleh Ketua Pengarah IKIM.


Majlis juga turut menyaksikan penyampaian Sijil Pelantikan Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel) kepada pihak IKIM, diikuti dengan penyerahan Sijil Pengiktirafan Kualiti Akademik kepada pihak UNISSA.


Kerjasama strategik ini diharap dapat memperkukuh hubungan institusi dalam bidang media Islam, penyelidikan, penerbitan, latihan, pembangunan akademik serta perkongsian kepakaran di peringkat serantau.


Selain itu, majlis turut menampilkan pengumuman Anugerah Kertas Kerja Terbaik sebagai penghargaan kepada pembentangan kertas kerja yang cemerlang sepanjang persidangan berlangsung.


Penghargaan tersebut bertujuan menggalakkan budaya penyelidikan berkualiti serta memberi penghargaan kepada para pembentang yang telah menyumbang idea, dapatan kajian dan perspektif baharu dalam memperkasa wacana media Islam.


Majlis Apresiasi RIMeC'26 diharap dapat menjadi platform bagi mempererat hubungan profesional dan ukhuwah antara peserta, institusi akademik serta organisasi media Islam serantau.


Penganjuran majlis ini juga mencerminkan komitmen UNISSA dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau, membudayakan penyelidikan berimpak tinggi dan memartabatkan media Islam sebagai medium dakwah, pendidikan dan pembangunan masyarakat yang relevan dengan cabaran semasa.


Close